Kuala Lumpur, 30 June - Beberapa ekor lembu telah dijumpai terlantar di atas rak berdekatan dengan surau di dalam sebuah kompleks membeli-belah yang berdekatan dengan Taman Danau Desa dua hari yang lepas.
Lembu-lembu tersebut yang terlantar tanpa pakaian telah menarik perhatian beberapa pengunjung kompleks membeli-belah tersebut. Walaupun tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan, pengaliran wang keluar oleh beberapa pengunjung tempat tersebut telah menyebabkan kekurangan lembu-lembu di rak itu semakin menjadi-jadi.
Salah seorang pengunjung, Cik Zaitul Fazila Zakaria yang telah menghabiskan wangnya kerana lembu-lembu tersebut berkata, dia tidak mampu menahan perasaan apabila melihat lembu-lembu itu seperti memanggil-manggil namanya. "Saya kesian tengok lembu-lembu itu. Dahla tak berpakaian, terlantar plak atas rak. Kat tepi surau pulak tu. Kesian diaorang. Sebab tu saya rela menghabiskan duit. Takder masalah," katanya lagi sambil tersenyum riang dan memegang erat salah seekor lembu yang menarik perhatiannya.
Seorang lagi pengunjung yang merupakan kawan baik Cik Zaitul Fazila, Cik Roslini Ashari juga tidak kisah kesengkekan duit di dalam dompetnya, semata-mata untuk menyelamatkan lembu-lembu yang terletak di atas rak tersebut. "Saya okay jer. Lagipun saya melakukannya demi menyelamatkan maruah lembu yang tidak berpakaian itu daripada dicemari. Apalah sangat duit saya ni jika dibandingkan dengan keadaan mereka yang agak terbiar di atas rak ni. Saya terharu melihat diaorang yang merenung saya dan kawan baik saya dengan pandangan yang sayu dan tidak bermaya. Sebab tu saya tak kisah," Cik Roslini berkata sambil mencium lembu putih pilihannya. Mereka berdua mengambil keputusan untuk menamakan lembu masing-masing dengan satu nama iaitu Momo.
Keprihatinan mereka berdua telah menarik perhatian beberapa pengunjung yang lain yang juga mengambil keputusan untuk menyelamatkan lembu-lembu tersebut. Sikap begini haruslah dipuji dan dijadikan teladan. Majulah sukan untuk negara! - Tuan Punya Momo